Kelewatan Pelantikan Graduan Diploma PP

0
2082
Two guys in the robes are talking at the university.

ISU KELEWATAN PELANTIKAN GRADUAN DIPLOMA PEMBANTU PERUBATAN KE DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) terpanggil untuk memberikan pandangan berkaitan perkara ini. Biarpun isu ini sepatutnya dijawab oleh pihak yang mengurus perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) namun kegelisahan para graduan yang tidak lagi dapat ditahan ini perlu diredakan.

Tindakan PPPM memberi penjelasan ini didorong oleh beberapa konotasi-konotasi yang tidak menjaga perasaan para graduan ditambah pula kenyataan-kenyataan berbentuk andaian telah menambahkan lagi kehangatan isu ini.

Sebelum saya menjelaskan isu ini dengan lebih lanjut, saya mengajak para graduan untuk memahami maksud ‘Kontrak’ itu terlebih dahulu. Rujuklah Kamus Dewan, terma perjanjian dan apa jua sumber yang ada.

Pemberitahuan tentang tempoh kontrak sebagaimana dibincangkan di dalam tweeter ILKKM_Insider bukanlah bermaksud Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak melantik para graduan lepasan Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) untuk berkhidmat di dalam Perkhidmatan Awam khususnya di KKM. Walaubgmanapun, ia terpulang kepada Kerajaan untuk membuat pelantikan pada bila-bila masa yang diputuskan perlu. Cuma apabila adanya kontrak maka Kerajaan melalui agensinya iaitu KKM mempunyai hak mutlak ke atas para graduan ILKKM untuk dilantik kerana Kerajaan telah melabur dengan melatih para graduan tersebut. Selepas tempoh kontrak itu berakhir maka KKM sudah tidak mempunyai hak untuk ‘merantai’ para graduan dan mereka boleh membuat pilihan sama ada ingin terus bersama KKM atau memilih perkhidmatan di agensi-agensi luar KKM tetapi masih dalam sistem Perkhidmatan Awam seperti di ATM, PDRM, JPAM, Bomba dan lain-lain yang berorentasikan perubatan & kecemasan. Namun, permohonan para graduan perlulah melalui proses permohonan dengan SPA semula. Selain itu, mereka juga boleh memilih untuk berkhidmat dengan agensi-agensi berkanun, kerajaan negeri (tempatan) dan swasta.

Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia (KKPPPSM) dan PPPM telah mengadakan beberapa siri pertemuan bersama KKM bagi mendapatkan penjelasan dan menuntut jalan penyelesaian keatas isu ini. Pihak KKM memaklumkan bahawa mereka sedang meneliti beberapa kaedah bagi menyelesaikan kemelut ini. Ia bukanlah sekadar menyelesaikan isu lantikan graduan ILKKM bahkan paling penting adalah isu perkhidmatan yang menuntut penambahan tenaga manusia.

Untuk makluman semua, KKPPPSM dan PPPM tidak pernah dimaklumkan bahawa Kerajaan tidak akan melantik graduan ILKKM. Walau bagaimanapun, isu kekangan kewangan disamping Kerajaan mengambil langkah menyusun semula aktiviti Perkhidmatan Awam supaya tiada pembaziran tenaga manusia berlaku adalah untuk mengoptimakan fungsi Penjawat Awam. Tindakan ini tidaklah memberi makna bahawa jawatan PPP tidak akan diambil. Namun, ia sedikit sebanyak memberi kesan sebagaimana yang sedang dihadapi oleh para graduan Diploma Pembantu Perubatan kerana proses ini sedang diteliti oleh Kerajaan. “Kita memberi jaminan tiada langkah mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam kerana pengambilan baharu akan tetap dibuat bagi menggantikan kakitangan yang bersara berjumlah 25,000 setahun, cuma perjawatan baharu sahaja yang dibekukan,” kata YBhg. Tan Seri Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara semasa sidang akhbar selepas perasmian Hari Terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 23/5/2015. Kenyataan ini turut menimbulkan persoalan “kalau tiada jawatan bagaimana graduan boleh dilantik?”.

Disinilah yang dinyatakan tadi bahawa beberapa kaedah sedang diteliti untuk dilaksanakan bagi mendapatkan kekosongan jawatan, antaranya melalui pelaksanaan exit policy, tradeoff jawatan dalam perkhidmatan tertentu, persaraan, urusan kenaikan pangkat dan sebagainya. Mengisi kekosongan daripada sumber dalaman agensi adalah satu alternatif yang tidak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan Kerajaan yang banyak atau barangkali lebih menjimatkan. Dalam situasi ini, ‘mengutip’ kekosongan jawatan di sana sini tentunya mengambil masa selagi jumlahnya masih belum berpadanan dengan jumlah pengeluaran graduan. Hal ini juga turut diambil perhatian serius oleh Bahagian Pengurusan Latihan KKM dengan mengemukakan beberapa cadangan solusi. Cadangan untuk melantik terlebih dahulu graduan cemerlang merupakan satu cadangan yang amat baik dan PPPM serta KKPPPSM amat menyokong cadangan ini. Ia dilihat lebih adil. Walau bagaimanapun, Bahagian Sumber Manusia KKM masih meneliti beberapa cadangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

PPPM telah merujuk isu kelewatan pelantikan ini kepada Pihak Berkuasa Melantik iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia sama ada jawatan PPP turut terlibat dalam pembekuan ini. Jawapan yang diberikan adalah ‘TIDAK’  kerana jawatan PPP telah dikelasifikasi sebagai jawatan/perkhidmatan kritikal. SPA hanya akan melaksanakan pengambilan/pelantikan apabila ada permintaan daripada agensi iaitu KKM. Berdasarkan jawapan ini maka wajarlah para graduan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada KKM untuk mencari jalan terbaik demi kepentingan bersama.

PPPM menyarankan agar para graduan dapat bersabar menunggu pelantikan ini walaupun ia mengambil masa yang lebih daripada kebiasaannya. Sementara itu, fikirlah yang terbaik untuk menyara hidup.

PPPM menasihatkan agar pihak-pihak tertentu tidak bermain dengan spekulasi kerana ia akan memburukkan keadaan. Pihak yang mengurus perkhidmatan profesion ini pula perlulah menyampaikan maklumat dengan cepat, tepat dan profesional supaya setiap persoalan yang berbangkit dapat memberikan jawapan yang akan meredakan kegelisahan semua pihak. Hambatan ingin bekerja lantaran dapat berbakti kepada rakyat tidak harus dipandang enteng. Ini impian mereka!

KKPPPSM dan PPPM telah merancang untuk bertemu dengan JPA dalam masa terdekat ini bagi membincangkan beberapa perkara melibatkan kepentingan bersama. Isu pelantikan ini juga akan turut dibincangkan.

Kesabaran para graduan menunjukkan nilai kematangan mereka dalam mendepani isu yang melibatkan kepentingan negara. Oleh itu, sentiasalah meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri sendiri!

Sekian.
BAKTI MULIA

Yang ikhlas,

SETIAUSAHA AGUNG

PERSATUAN PEMBANTU PERUBATAN MALAYSIA
19/7/2016