Sejarah Penolong Pegawai Perubatan

Sejarah dan Perkembangan Profesion Pembantu Perubatan

Profesion Pembantu Perubatan merupakan salah satu profesion yang bersama-sama dengan profesion-profesion lain dalam Perkhidmatan Perubatan & Kesihatan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Malaysia. Ramai yang mengenali profesion Pegawai Perubatan, Jururawat, Pegawai Pergigian, Ahli Farmasi dan lain-lain profesion. Namun ramai yang terkeliru antara tugas & tanggungjawab Pembantu Perubatan dengan Doktor serta Jururawat. Malahan ramai antara kita tidak mengetahui sejarah sebenar Profesion Pembantu Perubatan. Dan tidak dinafikan ada yang telah mengetahui sejarah Profesion ini.

Sejarah profesion akan dimulakan dengan SEJARAH PULAU PINANG terlebih dahulu. Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, diserah hak kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma.

Kenapa ianya dimulai dengan sejarah Pulau Pinang? Kerana yang datang bersama-sama Syarikat Hindia Timur Inggeris pada ketika itu adalah seorang doktor (Dr James Hutton) dan dua orang PEMBANTU PERUBATAN (Micheal Cgaffe dan Henry Warring). Merekalah yang mengendalikan hal ehwal perubatan dan pentadbiran jabatan perubatan. Namun pemerintah inggeris menghadapi masalah kekurangan kakitangan perubatan untuk memberi rawatan kepada pekerja koloni dan mesyarakat setempat.

Pada 28 ogos 1822, seorang Senior Surgeon telah mencadangkan pemberian latihan kepada kanak-kanak lelaki tempatan. Perantis pertama yang dipilih oleh Senior Surgeon Pulau Pinang adalah James Ash dan memulakan latihannya pada 3 April 1823. Manakala John Sutherland, James Isaiah dan William James Clyne memulakan latihan pada 1 Januari 1824. Setelah tamat latihan mereka dilantik sebagai PEMBANTU APOTEKARI. Masalah dihadapi oleh pemerintah Inggeris dan merombak stuktur latihan serta pembayaran gaji. Oktober 1952, Senior Surgeon Oxley telah mengutarakan rancangan latihan kepda Pemangku Gabenor. Pelatih mestilah lulus dengan memuaskan dalam peperiksaan farmasi, berpengetahuan dalam asas perubatan, menulis preskripsi, menyesuaikan diri dengan rutin asas di hospital dan berkemahiran membalut luka.

Pembantu Apotekari yang telah berkhidmat 15 tahun akan dinaikkan pangkat ke Apotekari Rendah (Junior Apothecary) sebelum boleh dilantik sebagai APOTEKARI. Syarat-syarat kenaikan pangkat ini seseorang pelatih mestilah mengikuti latihan iaitu ilmu asas anatomi, fisiologi, kaedah pengendalian post mortem dan patologi. Pelatih pertama dalam skim baharu latihan ini ialah Tan Poh yang memulakan latihan pada September 1854 di Hospital Pauper Cina, Singapura. Namun dengan pelaksanaan skim latihan baru ini juga menyebabkan pemerintah inggeris masih menghadapi masalah kekurangan Apotekari di Jabatan Perubatan Negeri-negeri Selat sehingga terpaksa meminta bantuan dari India.

Pada 16 September 1889, Dr Max F. Simon, Pemangku Ketua Pegawai Perubatan Awam Negeri-negeri Selat telah mengajukan satu memorandum yang bertajuk “Memorandum as to the Foudation of a Medical School for the Straits Settlements in Singapore”. Memorandum ini adalah untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat. Daripada memorandum ini jawatan APOTEKARI telah ditukar kepada Sub Assistant Surgeon (Dressar).

Nama Dressar ditukar kepada HOSPITAL ASSISTANT (PEMBANTU RUMAH SAKIT) pada tahun 1936. Pada ketika ini keperluan Hospital Assistant amat-amat diperlukan di kawasan-kawasan pendalaman untuk memberi rawatan kesihatan kepada masyarakat. Ketika ini, Hospital Assistant diangkat seperti “Doktor” oleh masyarakat-masyarakat kampung. Pada ketika ini jumlah Doktor di Tanah Melayu amatlah sedikit dan keperluan doktor adalah di hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Tahun 1985, nama Hospital Assistant ditukar lagi kepada “MEDICAL ASSISTANT (Pembantu Perubatan)”. Sejajar dengan itu, Sijil Pembantu Hospital diberi taraf Diploma dan pada tahun 1998 kelayakan Pembantu Perubatan diiktiraf sepenuhnya sebagai DIPLOMA PEMBANTU PERUBATAN.

Tahun 2007, Skim Pembantu Perubatan diletakkan dibawah Skim Perkhidmatan Bersepadu dimana ianya boleh dinaikkan pangkat sehingga gred U54. Dan pada tahun yang sama juga, gelaran PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN diberikan kepada Pembantu Perubatan Berdaftar di KKM sejajar dengan transformasi perkhidmatan kesihatan pada masa kini.

Profesion Pembantu Perubatan cukup sinomin dengan gender LELAKI. Akan tetapi pada tahun 2006, kumpulan pertama Pelatih Pembantu Perubatan PEREMPUAN diambil belajar di Kolej KIST, Kelantan. Manakala pengambilan pertama PPP Perempuan ke Kolej Latihan KKM pada tahun 2007. Mereka mula diserap masuk ke dalam perkhidmatan KKM pada tahun 2010. Dan kini PPP Perempuan yang juga merupakan SRIKANDI PPP telah melebarkan sayapnya setanding PPP Lelaki.

Sekarang, Profesion Pembantu Perubatan bukan hanya setakat di Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja. Keperluan Pembantu Perubatan juga diperlukan secara pinjaman kader di Kementerian Pertahanan Di Hospital Angkatan Tentera disamping anggota tetap Tentera Darat, Jabatan Penjara, Kementerian Pendidikan (Politeknik dan Universiti), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PUSPEN. Pembantu Perubatan juga dilantik ke jawatan tetap di Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Pasukan Polis DiRaja Malaysia.

Manakala dalam sektor swasta, perkhidmatan Pembantu Perubatan diperlukan di ladang, kilang, dan syarikat carigali minyak dan gas. Pembantu Perubatan di sektor ini kebanyakkannya mempunyai kelayakkan sebagai Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan.

PETIKAN DARI SAMBUTAN HARI PP TAHUN 2019